Sunday, February 20, 2011

satu kisah

panas!! sangat panas sampai terbakar rumah di pasir panjang, bukan rumah saya. rumah seorang warga emas yang tidak saya kenali, hanya diberitahu ceritanya oleh adik. takziah. semuanya dari Allah. harta kekayaan juga hidup kita semua ikhsan dari Allah jadi tidak salah jika Dia mahu mengambilnya kembali sebagai peringatan dan ujian agar kita terus mengingatinya. tika senang lupa padaNya tika susah mula mencari-cariNya, itulah hakikat kita sering lupa padaNya.

pengalaman hidup banyak mengajar dan mematangkan hidup. mengenali seseorang bukan bermakna kita hanya melihatnya melakukan apa sahaja yang dia sukai tanpa mengambil sebarang iktibar. tika melihat sesuatu jangan hanya memandang kosong tetapi lihatlah dengan akal fikiran, ambil iktibar dan pengajaran dan ingatlah padaNya. 

jauh tersasar, nak cerita tentang seorang yang saya kenali, harap dapat ambil iktibar dari cerita ini. bukan tujuan untuk membuka aib tapi sebagai peringatan kepada kita sebagai manusia yang sering alpa dan leka. dia dilahirkan dalam keluarga yang sedarhana, ayahnya seorang peniaga ibunya suri rumahtangga. namun oleh kerana sering berulang alik ke negeri orang untuk  berniaga maka anak-anak sering ditinggalkan bersendirian di rumah. keadaan ini sudah menjadi kebiasaan bagi anak-anak ini, mereka saling menjaga diri masing-masing. yang sulung menjaga adik-adik dengan penuh kasih sayang, adik-adik pula membantu kakaknya menguruskan rumah. kehidupan orang pada zaman dahulu tidaklah semewah sekarang. mandi air telaga, menambah wang poket dengan berniaga ais krim batang di padang pada waktu petang dan tika musim menuai membantu ibu bapa menuai, tiada mesin waktu itu hanya tulang empat kerat.

entah kenapa dia membesar sebagai seorang yang sangat pendendam, memberontak jika kemahuan tidak diikuti. pengajian agama dan kasih sayang yang diberikan ibu bapa tidak mampu diterjemahkan olehnya hinggakan sanggup meninggi suara  malah membentak mereka. juraian air mata ibu dan nasihat bapa tidak dipedulikan. setelah bersuami sering mengherdik suaminya memandangkan si suami tidak begitu kaya sepertinya. adik-beradik turut menjadi sasaran amukannya malah penduduk kampung turut dilibatnya jika dia tidak berpuas hati.

selepas kematian ibu bapanya timbul kekesalan di hati namun masih ada sesuatu yang menghalang dirinya untuk bertaubat iaitu EGO. egonya sangat tinggi hinggakan dirasakan hanya dirinya yang betul, hanya dia yang benar nasihat orang tidak didengari malah akan diungkit dan dikutuk. jika seseorang berani bersuara tika dia bercakap orang itu akan dikatakan biadap. semua orang sudah muak dengan perangainya dan malas untuk bertemu dan bercakap dengannya.maka untuk mendapat perhatian orang sengaja dia bercakap kuat dan berpura-pura gila. sengaja menakit-nakutkan orang kampung. bila dibawa ke hospital doktor mengesahkan dia tidak mempunyai sebarang penyakit mental malah berkelakuan baik. 

apabila melihat adik-beradiknya tingal di rumah mewah, hidup senang sedangkan dirinya masih di takuk lama maka dituduhnya pula mereka memakan harta pusaka, berkomplot untuk merampas semuanya. hakikatnya semua adik-beradiknya beralah dengan memberikan kepadanya apa yang diminta malah bahagian yang diperolehinya lebih banyak daripada mereka. mereka hidup mewah kerana mereka berusaha gigih mencari rezeki, bekerja siang malam tanpa mengenal penat lelah malah sering menghulurkan wang dan bantuan kepada anak-anaknya di luar pengetahuannya. dia pula hanya tahu membelanjakan wang, apabila tidak mencukupi dia meminta kepada adik-beradiknya dengan pelbagai alasan. 

personalitinya? apabila berjumpa jangan terkejut bila dia menasihati kita dengan pelbagai perkara terutamanya solat. sangat bagus malangnya diri sendiri tidak mengerjakannya. hanya menunaikan solat tika diri teringin melakukan. bertudung besar tapi kelihatan sangat berserabai dan kadang-kadang berbau hamis. sering mendengar takzirah dan pengajian agama di surau tapi tidak mengamalkannya atau mengambil pengajaran. hanya tahu membebelkannya kepada orang lain tanpa hikmah dan cara yang betul. paling menyedihkan sering percaya dengan perkara tahyul seperti gelang emas yang dijampi oleh bomoh boleh menguatkan dirinya.

sekian cerita yang tidak menarik ini. konklusinya hiduplah berpandukan Al Quran dan sunnah Nabi. tunaikan solat wajib dan rajinkan diri menunaikan solat sunat untuk menampung kekurangan solat wajib. hormatilah ibu bapa, sayangi mereka dan bergaullah dengan mereka dengan baik serta sentiasa doakan mereka. 

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."                                                               [Al Israa' 17: 23-24]

padamkan api kemarahan dan dendam dalam diri, itu hanyalah sandiwara syaitan jika kita mengikutinya maka bergembiralah ia. turunkan ego dalam diri agar tidak menyesal kemudian hari. berfikiran positif dan rasional bukan membabi buta, jangan hanya menurut hawa nafsu. sama-sama kita bermuhasabah diri dan berdoa agar diri kita dan seluruh umat Islam bersatu hatinya untuk membawa Islam ke puncak kembali. Islam akan menang! itu janji ALLAH.

“Sesungguhnya Allah lebih suka menerima taubat seorang hamba-Nya melebihi kesenangan seorang yang menemukan kembali tiba-tiba untanya yang telah hilang daripadanya di tengah hutan”.


(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)